Jebat.....

Dalam hura-hara, tiba-tiba Dato Bendahara mendekati Sultan lalu berkata”Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sempah patik harap diampun. Sudilah kiranya tuanku mendengar bicara patik” lalu tuanku Sultan menangkat kerisnya tanda mendengar. “Tuanku, sembah patik, sembah durhaka, ampunkan patik jika berita yang akan patik sampaikan ini membuat tuanku murka” tunduk Dato Bendahara tanda bersalah menyebabkan berkerut dahi tuanku mendengar butir bicara Dato bendahara.”Tuanku, Dato Laksamana Hang Tuah masih hidup, patik tidak laksanakan hukuman tuanku, patik sembunyikan Tuah di hutan sempadan negeri Pahang, tuanku” lagi tunduklah Dato Bendahara menandakan begitu bersalahnya pada tuanku Sultan. “Ya Allah, kalau begitu kenapa ditangguh lagi panggil Tuah datang mengadap, beta begitu memerlukan Tuah sekarang” sambil tersenyum lebar tuanku Sultan mendengar perkhabaran dari Dato bendahara. Terpinga-pinga Dato Bendahara mendengar jawapan dari tuanku Sultan lalu diarahkan Lekir dan Kasturi pergi mengambil Tuah. “Dengan pantas kami pergi Dato” Kasturi memberi jawapan. Dua beradik itu tersenyum lebar mendengar berita abg sulong mereka masih hidup. 7 hari 7 malam baru lah sampai Tuah dan adik-adiknya lalu terus mengadap ke bawah duli tuanku Sultan. Lalu diceritakan satu-persatu kisah Jebat yang mengamuk dan cuba untuk mengambil alih tahta diraja.

“Cis! Sungguh angkuh kau Jebat” lalu ditamparnya Tuah tiang seri balairung istana sampai bergegar segala isi. Tergamam segala dato-dato, segala hulubalang-hulubalang dan Sultan sendiri kerana kemarahan Tuah. “Ya Allah, jika Tuah yang mengamuk nescaya segala kesultanan yang ada ditanah Melaka ini mesti terhapus tanpa meninggalkan keturunan” berbisik Dato Bendahara dalam hatinya. Lalu Tuah bersama Lekir, Lekiu dan Kasturi terus memohon undur diri dari istana setelah sultan mengurniakan semula pakaian Dato Laksamana kepada empunya diri. Tuah dengan muka amarahnya berjalan menuju kearah istana utama, istana yang ditawan jebat selama satu purnama. “Aaaarrgghhh!” tiba-tiba Kasturi mengerang kesakitan. “Pasang!” jerit Tuah pada adik-adiknya sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Dikepalnya penumbuk, dikemaskan kekuda, ditarinya seni, dihentaknya tumit lalu menumbuk lah Tuah pada tanah. Rebah dan tewas lembaga yang datang menyerang rombongan adik-beradik tersebut. “Sungguh licik kau Jebat, pandai kau bermain perangkap” berkata Tuah sambil mengampu adik bongsunya kasturi. “Dugaan pertama berjaya ditangkis, entah apa yang ada dihadapan nanti” kata lekir. Kata-kata lekir hanya disambut dengan pandangan tajam dari Tuah lalu mengeletar seluruh badan lekir. “Begitu amarahnya bang Tuah, tidak pernah sekali pun bang Tuah sebegini amarahnya”sambil Lekiu menepuk-nepuk belakang Lekir memberi kembali semangat diri.

Kembali berjalanlah rombongan adik-beradik menuju ke istana utama tapi kini dengan lebih hati dan waspada. Di istana utama Jebat sudah merasaikan sesuatu “Isk! Sungguh berani Sultan terkutuk itu menghantar pendekar mencabar aku. Ini Jebat lah! Adik Tuah yang kamu bunuh, adik Tuah yang kamu ainaya” . Melompat Jebat dari singahsana istana lalu ditarinya bunga perang, dikemaskan gerak rencong, dihentakkan langkah tunggal, ditariknya langkah juak sambil baca la Jebat mentera perang pada keris taming sari.

“Keris pusaka keris adat keris perang membawa darah,

Langkah rencong disemat juak langkah tungal ku hentak dalam,

Tuntung keris ku kemas darah dara ku hiris-hiris,

Langkah kiri ku sambut dalam biar langkah mati tiada hujungnya,”

Lalu dihembus Jebat mentera, sambil ketawa“Biar ku lihat hebat mana pendekar ini”.

Rombongan adik-beradik tiba-tiba dihentikan oleh Tuah, belum sempat Kasturi membuka mulut Tuah terus berkata “Aku tahu, Jebat bermain mentera, mentera perang mentera pemati, biar dia bermain mentera, aku cuma mahu bermain-main dengannya” lalu diarahkan Lekir dan Lekiu pergi mencari kayu api dan makanan. Terpinga-pinga tapi dituruti juga arahan abang sulung mereka. Kasturi yang kehairanan cuba bertanya “Bang Tuah untuk apa kita bermalam disini bukankah perjalanan kita ini hanya mengambil setengah hari sahaja?” Tuah hanya menyambut dengan senyuman sambil tangan menyapu muka Kasturi. “ Adik ku Kasturi cuba kamu lihat dihadapan kamu” di tunjukkan Tuah dihadapan dihujung jalan.Tergamam Kasturi melihat barisan bala tentera yang pelbagai rupa dan bentuk, ada yang tinggi, ada yang besar, ada yang panjang. “Itulah mentera perang Jebat tapi tidak mengapa aku pagarkan tempat ini sehingga sekumit nyamuk pun tak bisa terbang dekat dengan mu adik ku” sambil Tuah membuka langkah pendinding langkah lam alif.

Selesai solat subuh, rombongan adik-beradik meneruskan perjalanan tapi Tuah seperti bersedia untuk berperang gayanya. “Lupakan kamu adik ku, apa yang kamu lihat semalam” Tuah menegur Kasturi. Lalu Kasturi juga bersedia seperti mana abangnya. Lekir dan Lekui seperti boneka hanya menuruti kehendak abangnya. “Sebelum pergi aku pesan langkah kalian biar langkah waspada, perang kali ini bukan seperti perang majapahit, bukan perang tentera siam, ini perang mentera, jadi pergunakan ilmu kalian sebaiknya. Kasturi melangkah kiri tanda menyambut musuh tiba. Lekir dan lekiu memasang kekuda tanda bersedia menerima serangan. Tuah gaya bersahaja tanda ilmu penuh didada. “Allahuakbar!” serentak lekir dan lekiu bertakbir. Libasan demi libasan, elakan demi elakan, tepisan demi tepisan , tikaman demi tikaman lekir, kasturi dan lekiu berpencak. “Bang lekir! Buka mentera mu, mentera pengeras mentera pengunci!” arah kasturi. Tersentak lekir kerana tidak terfikir akan ilmu yang dipelajarinya. Sambil menikam keris ditanah, dibacanya mentera

“Dengan nama Allah, aku berdoa,

keris ku tikam tanda ku pasak, ku pasak keras ku pasak kunci,

jabat besi ku tanda dalam jabat tanah ku ku lambung atas,

tangan ku silang tanda Lam Alif langkah tetiga ku langkah kemas,

Allahuakbar!”

Tidak begerak lah kesemua lembaga yang datang menyerang mereka. Ditikam satu-persatu, ditetak satu-persatu sehingga sebahagian dari bala tentera lembaga itu habis dibunuh mereka.

Di istana, Jebat merasai menteranya dikunci dan dipasak. Terasa sengal ditangan kirinya akibat mentera Lekir. Amarahnya kembali memuncak “Sialan! Kau kunci, kau pasak aku pendekar bedebah” jebat mula terkumat-kamit membaca sesuatu, dihirisnya hujung jari, dititiskan darah pada lidah lalu diludahnya keluar istana. “Aku mahu kau bunuh kau cincang siapa yang datang mencabar aku” arah Jebat kepada sesuatu diluar istana. Dalam beberapa ketika terdengar ngauman yang begitu kuat hingga bergegar tiang istana. “Hahaha! Biar penjaga ku berdepan dengan kau pendekar!” laung Jebat sekuat hatinya. Dalam masa yang sama, lekir merasai sesuatu menghampirinya. Dicuba mendengar tetapi tiada bunyi, dicuba mengesan tiada tandanya. Tiba-tiba satu cakaran terasa dibelakang lekir menyebabkan lekir terpelanting jauh di sisi kasturi. “Bang lekir!” jerit lekiu terus menerkam kearah lekir yang mengerang kesakitan akibat diserang sesuatu. “Ya Allah! Binatang apakah ini, mahu dikatakan harimau bukan harimau” melompat kasturi jauh dari binatang yang menyerang lekir tadi. Tinggi binatang itu bukan kepalang hingga kasturi terpaksa mendongak melihatnya. Mukanya garang, matanya tajam, badan nya berbelang-belang seperti seekor harimau, cuma besarnya bukan seperti harimau biasa. “Lekiu! Bawa lekir jauh, kasturi! kamu disisi aku” jerit Tuah mengarah adik-adiknya supaya jauh dari binatang berkenaan. “Mari kita lihat jebat, ilmu hitam mu atau ilmu putih ku” sambil tuah menangkat tangannya tanda pembuka gayung. Ditarik jantan kekudanya, di tari bunga perang, disisip, digulung, di langkah silang, bukanya Lam Alif, dijabatnya hulu hatinya.

“Ya Allah, Ya Qayum, aku memohon kekuatan, kekuatan seribu tentera, kekuatan seribu pendekar,

Pendekar serimau diberi nama, 7 petala langit 7 petala bumi, langkah ku iring dengan kalimah,

Kalimah Allah aku berpayung, alang berpencak biar berperang, ku sambut iring ku kalis rencong”

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena muncul seekor harimau hitam tubuhnya, besar gayanya, garang rupanya terus tunduk pada Tuah, lalu diusap-usap tuah sambil berbisik sesuatu pada harimau itu. Kasturi yang di sisi tuah tidak bergerak seinci pun kerana begitu tergamam. “Tingginya ilmu bang tuah ini, aku kira ilmu ku hanya sebesar kolam tapi bang tuah sebesar lautan” bisik kasturi dalam hatinya. Kembali Tuah menari tari perang nya, harimau hitam terus menerkam harimau jebat. Berlawan lah kedua-duanya, seperti dua ekor jaguh rimba yang ingin menguasai, masing-masing menunjukkan kekuatan, lincah dan cakara. Ngauman kedua-dua seperti halilintar dilangit, berdentum setiap cakaran, bercahaya setiap tepisan. Kasturi dan lekiu hanya dapat memandang dan meneruskan perperangan mereka dengan lembaga-lembaga dikeliling mereka. “Bang Tuah! Perlu kami memberi pertolongan?” soal lekiu sambil menikam lembaga-lembaga yang kaku itu. “Haha! Aku hanya bermain-main saja dengan penjaga jebat ini. Aku mahu lihat sehebat mana adik ku jebat ini” lalu Tuah menghabiskan langkah tari perangnya yang terakhir, dikalis, di kembalikan langkah tunggal, di beri sangga, ditumbuk gayung. “Bismillahirrahmanirahhim, haaaah!” sepintas cahaya dari langit turun menyambar penjaga jebat. Dentuman demi dentuman singgah pada badan harimau itu dan juga pada lembaga-lembaga yang pelbagai rupa. Dengan sekelip mata kesemua lembaga dan harimau besar itu lenyap seperti habuk yang ditiup angin. “Alhamdulillah, mari kita teruskan perjalanan jauh ini” dengan tanpa setitik peluh pun jatuh, Tuah kembali melangkah dan meneruskan perjalanan. Lain pula cerita adik-adiknya yang tercungap-cungap mencari nafas. Lekir yang cedera dipapah kasturi, lekiu yang kepenatan cuba mencari tenaganya kembali. “Bang Tuah, molek kiranya kita berehat dulu, menyimpan nafas, mengumpul kekuatan kembali” ujar lekir sambil menahan sakit. “Baiklah,kali ini biar aku yang mencari makanan dan kayu api” spontan Tuah terus menghilangkan diri dicelah-celah belukar. “Kasturi, handal benar jebat penderhaka itu. Sampai cedera aku dibuatnya. Pejalanan kita ini pun seperti meredah hutan belantara, sedangkan istana utama ditengah-tengah Melaka. Kenapa pula ada hutan dan belukar pula?” soal lekir kepada kasturi. “Bang Lekir, ini namanya perang mentera. Seperti tok guru kita pernah berkata masa di gunung ledang dahulu, perang mentera perang yang paling kita perlu waspada. Setiap langkah perlu dijaga, setiap kilas perlu diperiksa, setiap penglihatan perlu dikira. Tawakal pada Allah, itu yang kita pegang.” Jelas Kasturi.

“Bang lekir, mana Bang Tuah pergi? Lama benar rasanya dia mencari kayu api dan makanan” soal lekiu. “Itu dia” sambil menunjukkan kelibat manusia dicelah-celah belukar yang ada dihadapan mereka tapi Tuah tidak keseorangan. Diiringnya seorang tua yang putih janggutnya, putih pemakaiannya. “Tok guru!” serentak ketiga-tiga adik-beradik bersuara lalu dipeluk dan dicium tangan tok guru adi putra tanda hormat dan juga rindu. “ Anak-anak sihat?” sambil tersenyum adi putra bertanya. “Tok boleh lagi bergurau? Hahahaha! Kesian anak-anak tok guru berhempas pulas menahan bala dan mara. Setiap langkah dikira-kira, setiap sudut ada bahaya tapi tok boleh bertanyakan kami sihat atau tidak” gelak lekir walau cedera dibelakangnya masih terasa. “ Aku bertanya pada ilmu mu, aku bertanya pada batin mu, walau ilmu penuh di dada tapi kamu leka dan lalai mempergunakannya” tegur adi putra pada anak muridnya. Terdiam dan tertunduk lekir bila mendengar kata-kata dari adi putra, guru yang tegas dalam mendidik anak-anak muridnya. “Aku kemari dijemput Tuah untuk kamu” berkata adi putra sambil menunding jarinya pada lekir. Lalu didekati anak muridnya yang cedera itu, disentuhnya luka, dibacakan sesuatu, dititiskan penawar, dibaluti luka. “Lekir, luka mu bukan luka biasa, luka berselang dengan mentera, makannya dalam tidak terhingga, mujurlah ilmu mu ada sebagai penyangga” lalu Adi Putra meminta diri untuk kembali ke gunung ledang. “Bagaimana tok guru boleh datang sebegini jauh?”soal lekir kembali. “Ilmuku ini datang dariNya, bagaimana aku datang dan bagaimana aku pergi jangan kau bertanya cuma satu aku berpesan walau apa pun jebat lakukan, dia tetap sebahagian dari kalian” pesan adi putra kepada Tuah dan adik-adiknya. Lalu kembalilah adi putra ke gunung ledang.

“Bang Tuah, perlu kita bermalam disini?” soal kasturi kepada tuah. “Ya adikku, kita kumpulkan tenaga dahulu pada malam ini, esok belum tahu apa lagi yang menanti kita” ujar Tuah. Malam itu ketiga adik – beradik mengumpul tenaga kembali. Tuah seperti biasa sentiasa berzikir. Zikir yg tak penah lekang dari mulut nya sejak dia menjadi perlarian di sempadan Pahang.

“Bangun, kita bergerak sekarang” arah Tuah. Rupanya subuh sudah menjelma, setelah selesai solat subuh mereka bertiga mula mengorak langkah kearah istana yang ditawan Jebat. Kali ini langkah mereka lebih berhati dan waspada. “ Mengapa benak hati terasa sesuatu hari ini “ Bangun Jebat dari singahsana diraja terus memandang jauh. “ Bang Tuah, Jebat tahu perbuatan ini perbuatan terkutuk, perbuatan ini yang paling Bang Tuah pesan dan larang tetapi langkah ini perlu Jebat lakukan untuk membuka mata seluruh rakyat jelata, raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah” berkata jebat pada dirinya, sayu hatinya mengenang abang kesayangannya tiada disisi lagi.

“Assalamualaikum, Jebat durhaka!” satu suara dari luar istana. “Biadap! Memberi salam nampak bersopan tapi dihujung mengundang mara, siapa gerangan durjana diluar sana” tempik Jebat. “Aku Dato’ Laksamana Hang Tuah” sambil dihentaknya tumit kaki lalu bergegar isi tanah menanda kedatangan Tuah kali ini bergitu bersedia menghadapi Jebat.

0 comments: