13/2/13..The day I lost my father…

 

Pagi itu seperti biasa, salam cium tangan ibuku meminta restu moga diberkati permulaan hari. Ayah aku lihat sedang nyenyak tidur, tidak mahu aku menganggu lena nya. Jadi ku tatap sebentar wajah nya.

“Ayah penah tengok tak rokok elektronik tue?” aku bertanya

“Elok ke benda tue?” Ayah curiga

“Hahaha! Nanti along beli tuk ayah ok. Benda tu elok, don’t worry” aku tersenyum.

Teringat perbualan aku dan ayah pada minggu lepas, jadi terus aku sms ke Wan si penjual rokok elektronik bagi menempah. Harap ayah seronok dengan pemberian aku nanti.

Dalam memanaskan enjin kereta, hati aku sangat lah berat ingin ke tempat kerja. Tiba tiba henpon aku berbunyi, rupanya Izzi menghantar pesanan

“Papan bro!!”

Terus aku memacu ke kedai mee papan di pekan Batu Gajah. Dalam masa yang sama hati aku agak berat untuk kerja hari ini, entah mengapa. Tibanya aku di kedai, Izzi, Mirul, Jet dan Hairil sudah sedia menanti. Terus duduk dan berbual sambil menikmati keenakan mee papan yang di goreng Abg Ramli. Terlupa sebentar rasa tidak enak di dalam hati.

Kira pukul 12 tengahari aku dan rakan rakan bersurai. Melihat paras minyak agak kurang, terus aku ke stesen minyak yang menghala ke pusing. Senang untuk aku terus ke tempat kerja nanti. Setelah selesai, aku meneruskan perjalanan tetapi kali ini aku agak perlahan membawa kereta. Kepala dan hati agak berat untuk kesana cuma tangungjawab sebagai pekerja aku kena laksanankan juga.

Hp berbunyi, tertera nama adik ipar aku Bad.

“Along! Ayah accident! Teruk kat Botani”

Tiba tiba otak dan badan aku jadi kaku. Kereta hampir hilang kawalan. Tanpa berfikir aku terus berpatah balik dan menuju ke Botani. Otak mula berfikir perbagai kemungkinan. Mulut pula berdoa moga ayah tidak apa apa. Hati berdebar, sangat berdebar. Mata mula mengeluarkan air. Orang pertama aku call adalah Izzi.

“Bro! Tolong Bro! Ayah aku accident kat Botani”

Dalam hati aku terus berdoa dan berdoa moga ayah selamat. Di simpang Meranti Lapan kereta mula sesak. Aku terkandas dan cuba mecelah di antara kereta kereta. Dari jauh aku dapat melihat kereta ayah berada di sisi, Bomba dan JPA sudah ada di tempat kejadian.

“Angah!” Aku menjerit

Dalam pemikiran aku adik kedua aku terbabit sekali dalam kemalangan kerana dia sudah terduduk disisi kereta. Berlari aku ke arah kereta ayah, aku lihat Bomba dan JPA sedang mengeluarkan ayah dari kereta. Berdarah, aku mula menangis, aku mula geram, aku mula rasa takut. Pada masa itu pelbagai perasaan di hati mula timbul. Terus Izzi memeluk aku untuk menenangkan aku.

Aku melihat ayah tidak bernafas, aku melihat ayah berdarah telinga, aku melihat ayah terpejam matanya. Aku jadi kaku, otak tidak berfungsi sebentar.

“Ayah! Bangun ayah” berkata aku dalam hati.

Akan tetapi hati aku kuat mengatakan ayah sudah pergi menemui Ilahi. Aku cuba kuatkan hati kerana aku melihat mak dan adik sudah lemah menangis. Pihak JPA terus mengangkat ayah ke dalam ambulance dan membawa ke hospital.

Terasa lemah lutut untuk melangkah, aku gagah kan juga. Alhamdulillah, Izzi, Mirul dan Hairil ada membantu. Izzi terus membawa kereta aku ke balai Simpang Pulai untuk diletakkan di situ. Sambil aku menumpang kereta Hairil. Dalam perjalanan ke hospital, aku sempat menelepon beberapa saudara dekat untuk memberitahu ayah kemalangan.

Di hospital, mak, angah dan Bad sudah berada di wad kecemasan. Dalam menunggu doktor usaha menyelamatkan ayah.

“I’m sorry” Doktor memberitahu.

Aku terus memeluk mak, aku terus menahan air mata.

“When your dad came in here, he already no pulse. Kita sudah cuba everthing but yet God love him more. I’m sorry, his gone”

Mak hampir pitam, nasib baik aku memeluk mak. Terus aku papah mak keluar ke wad kecemasan. Tiba tiba terasa sesuatu dalam hati dan pemikiran aku. Otak mula ligat berfikir. Aku terus mengarahkan adik ipar aku membawa mak dan adik balik ke rumah. Bersiap dan memberitahu orang kampung.

Alhamdulillah, ada rakan ayah juga membantu menunggu di wad kecemasan, dia banyak memberi panduan dan nasihat untuk menguruskan jenazah ayah. Juga syukur Izzi, Mirul dan Hairil tidak berganjak membantu aku.

Aku sebenarnya takut untuk menatap jenazah. Waktu opah aku meninggal duni dulu, aku cukup takut untuk menatap lama lama. Akan tetapi jenazah ayah tidak sedikit pun aku takut.

Terbujur kaku ayah di depan mata aku di atas katil di bilik mayat. Kesan darah pada hidung dan telinga masih ada. Baju dan seluar ayah pun habis berdarah. Doktor waktu itu terus menerangkan aku sebab ayah tidak dapat diselamatkan. Ayah mengalami pendarahan pada otak yang sangat serius. Tulang rusuk ayah juga hancur akibat hentakan dari kemalangan. Organ dalaman ayah juga cedera. Kecederaan ayah memang serius. Akibat itu ayah banyak kehilangan darah.

Sayu hati bila aku memandikan jenazah ayah. Ingin aku menitis air mata tetapi aku ditenangkan oleh kakitangan hospital. Dari mandi aku terus membantu mengkafankan ayah. Muka ayah seperti sedang tidur. Tidur yang tidak akan bangun bangun lagi.

Maaf, along tidak sempat membalas jasa ayah semalam ini.

Doa moga ayah tenang bersama orang orang beriman dan ditempatkan di syurga. Aaaminn!. Aku cuba tabahkan hati demi mak dan adik adik. Alhamdulillah, aku mempunyai sahabat yang sentiasa di sisi membantu.

13022013035

Ayah..

Aku baru sahaja kehilangan superhero aku. Ayah meninggalkan aku, mak dan adik adik tanggal 13 Febuari 2013 akibat kemalangan jalanraya.

Terus terang aku katakan baki tangis dalam diri aku ini masih ada lagi. Aku tahan sehingga hari ini supaya aku kelihatan kuat di hadapan mak dan adik adik. Mak sangat memerlukan aku sekarang ini. Adik adik juga begitu, jadi aku perlu kuat.

Sebenarnya ingin aku menangis sepuas puas nya tetapi rasa tiada tempat untuk melepaskan semua nya.

Ayah…

“Along, pergi belajar jangan jadi ayam jantan makin besar makin mendabik dada, ikut resmi padi makin berisi dia tunduk merendah diri”

Itu pesan ayah bila menghantar aku belajar dulu. Sentiasa aku semat di dalam hati, segala kata nasihat, segala teguran. Ayah kini tiada untuk menegur dan menasihat aku.

Teringat aku masa kecil dulu, ayah begitu garang dalam mendidik aku. Pernah sekali aku ponteng kelas mengaji, tahu tahu ayah dah duduk di ruang tamu dengan mukadam dan pedang plastik aku ditangan. Dengan suara mengeletar aku membaca Al Fatihah, tiba tiba satu libasan pedang plastik mengenai badan aku. Waktu tu aku cukup takut dengan ketegasan ayah. Pernah juga aku sembunyi didalam tangki air rumah semata mata tidak mahu di rotan ayah. Salah aku juga buat adik aku menangis. Sepandai pandai aku sembunyi akhir nya aku di tangkap dan di ikat di pokok mangga. Tergelak rasanya mengenangkan waktu itu, malu dan sakit itu pasti.

Bila besar ini ayah dah kurang kegarangan nya, mungkin juga faktor usia. Ayah lebih banyak diam dan memerhati aku dan adik adik. Kalau ada yang tidak kena di hati nya, ayah akan panggil aku duduk berbincang dan memberi teguran nasihat.

Ayah juga banyak berpesan pada aku, rupanya pesanan ayah adalah pesanan terakhir untuk aku menjaga mak dan adik adik. Sebenarnya aku terasa rindu untuk bersalaman dengan ayah.

Ayah…selamat jalan dan tenang bersemadi di sana. Along sentiasa doakan ayah. Al Fatihah…

Tertanya...

Di sudut katil bertemankan bantal dan deruan angin...aku tertanya...

Kenapa sejak dari balik hari itu hati ku risau...rasa ada sesuatu yg membuat jantung ku getar debar...sedikit risau bercampur gelisah...

Aku tertanya lagi...sejak dari balik hari itu...

Aku makin jatuh rindu....makin jauh cemburu...makin tidak keruan kerana jauh begini...

Pertanyaan aku masih tiada dan kosong jawab nya...

Tertanya...

Kuala Lumpur dan erti

 

Cerita aku…cerita pendek….

Aku ke Kuala Lumpur lagi. Bandar yang tidak aku fahami walau sudah berkali kali aku ke sini. Meriah disebalik orang orang yang aku tidak kenali di dalam perut ibu kota ini. Seperti biasa aku menaiki keretapi yang menghubungkan aku di utara ke Kuala Lumpur.

KL Sentral…

Tiba nya di sini aku disambut dengan deruan orang orang yang berpusu ke destinasi masing masing tapi aku duduk di satu sudut melihat dan cuba memahami apa itu Kuala Lumpur. Masih juga aku buntu. Aku terus mengambil HP ingin memberitahu si dia aku sudah sampai di sini tetapi si dia macam sudah meneka aku sampai.

“Abang kat mana?” soal si dia.

Aku menjawab dengan penuh keterujaan “ Hah! baru je sampai kat KL Sentral ni”

Dalam nada si dia aku mengerti bahawa si dia baru sahaja bangun dari tidur. Tidak mengapa aku menyatakan, ambil lah masa untuk bersiap. Aku setia menunggu. Sebenarnya aku sudah lama sampai di KL Sentral cuma aku tidak mahu mengejutkan si dia sedang di ulit mimpi. Terus aku mengambil LRT menunggu si dia ditempat biasa. Alhamdullillah mujur ada HP android ini boleh aku meluangkan masa sambil menunggu si dia nanti.

Dalam masa yang sama aku masih lagi mencari makna Kuala Lumpur di dalam hati ku.

Si dia dan masa…

Hampir 2 tahun aku mengenali si dia dan dalam masa 2 tahun ini aku sentiasa berusaha mengenali dan memahami si dia. Senyum, tawa, marah dan sedih si dia aku cuba rakam kan di dalam kotak rakam minda ku ini. Teringat aku di masa saat pertemuan pertama di sini, Zoo Negara sebagai destinasi.

Terus aku berkata “ Macam dalam cerita P. Ramlee la, berdating dekat Zoo Negara”

Jenaka aku terus di sambut dengan hilai ketawa, masa itu aku rasakan bahagia.

“Abang?” Lamunan aku terberhenti dengan teguran si dia.

“Orang lapar, jum pegi makan dulu yek”

“Ok jum, abang pun lapar” Balas aku.

Hari ini si dia memakai baju peplum yang sangat cantik tetapi aku cukup menyesal tidak mengambil peluang mengisi memori kamera dengan gambar gambar si dia. Jika tidak pulang nya aku ke utara mesti di bekalkan gambar gambar cantik dari si dia.

Selesai mengisi perut, aku dan si dia ke destinasi lain. Seperti biasa aku sentiasa mencuri pandangan wajah si dia. Entah kenapa aku rasakan tidak puas menatap wajah nya. Ada sesuatu yang melapangkan fikiran aku bila menatap wajah si dia. Tenang, gembira, terharu dan mestinya rasa cinta.

Masa…

“Sayang, kalau la abang ada kuasa hentikan masa, ini la ketika nya abang mahu berhentikan sebab abang bahagia sangat” telah aku sambil memandang si dia.

“Yeke? kalau boleh rewind abang nak kembali ke saat bila?” soal si dia kembali.

“Saat bila kita bahgia bersama, saat bila kita mencintai bersama” jawab aku sungguh

Akan tetapi riak wajah si dia seperti ada sesuatu yang menyekat untuk mempercayai kata kata aku itu.

Si dia, jika engkau tahu dan mengerti apa di dalam hati aku ini mesti sesuatu yang menyekat kepercayaan mu itu hilang. Tidak mampu aku katakan yang aku benar ikhlas cinta. Tak mampu aku buktikan yang aku benar sayang. Cuma ini yang aku termampu memberi dan membuktikan cinta dan sayang kepada mu.

Aku tidak punya harta dan wang berjuta cuma aku ada doa dan harapan di dalam hati. Usaha dan juga tawakal aku pada diri.

Biarlah masa menentukan walau usia aku tidak begitu muda untuk meneruskan tetapi aku tetap cekal untuk setia. Benar manusia ini seperti musim dalam sekelip mata ia boleh berubah tetapi manusia juga diberi perasaan setia seperti pokok setia pada matahari nya walau ketika ada awan menutupi tetapi ia tetap menjalar naik mencari cahaya. Insyallah begitu juga aku setia mencari hati dan kepercayaan si dia.

Bak kata orang,

Rasa, Perasaan, Sayang Cinta, Kepercayaan hanya kita yang tahu jika ia boleh di terjemahkan dalam sesuatu nescaya kita tidak bersungguh untuk membuat orang lain rasa apa yang kita rasakan dan menjadikan ia sesuatu yang berbaloi. Sebab itu Allah Maha Mengetahui setiap perkara yang ditentukan. Pada kita yang mengolahkan bagaimana kesudahan nya nanti.

Erti..

Sudah nya pulang aku ke utara membawa satu erti baru dalam hidup tentang Kuala Lumpur. Sesetengah mungkin menganggap ia punca rezeki dan mencari peluang hidup berjaya tetapi bagi aku Kuala Lumpur satu tempat aku mencari kepercayaan dan erti cinta. Kuala Lumpur bagi aku tidak ada erti jika tiada si dia. Ada aku di Kuala Lumpur ini kerana si dia ada di sini tidak lebih dari itu.

Pelbagai maksud boleh diterjemahkan, tetapi aku hanya itu yang aku rasakan kepada Kuala Lumpur.